Pegawai kesihatan dilarang buat penyataan tanpa kebenaran – KKM

0
2

PETUGAS kesihatan dilarang membuat sebarang penyataan awam tanpa kebenaran tegas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Larangan itu dibuat susulan terdapat edaran penyataan awam yang tersebar dalam media sosial mengenai pelaksanaan pemberian vaksin yang kononnya di tulis oleh petugas kesihatan KKM.

Mohd Shafiq berkata, selaras dengan prinsip perkhidmatan dan peraturan berkaitan tatatertib, setiap penjawat awam ditegah untuk membuat penyataan secara langsung atau tidak langsung menyentuh pelaksanaan dasar awam, program dan keputusan kerajaan tanpa kebenaran.

“Penyataan tidak wajar dan dibuat tanpa usul periksa bukan sahaja menjejaskan imej pegawai sebagai penjawat awam, malah boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan dalam masyarakat serta menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, peraturan berkaitan dengan etika dan tata kelakuan dalam perkhidmatan awam khususnya berkaitan dengan penggunaan media sosial dan tegahan membuat penyataan awam tanpa kebenaran, bukanlah bertujuan menghalang mana-mana pegawai untuk bersuara.

“Tetapi ia lebih kepada memastikan pegawai menggunakan saluran maklumbalas dan aduan yang betul serta menjaga imej dan kredibiliti pegawai perkhidmatan awam dan kerajaan.

“Setiap pegawai di KKM dari semasa ke semasa diingatkan supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa menggunakan media sosial serta menjaga batas penggunaannya agar tidak terjebak sebagai salah laku yang boleh dikenakan hukuman tatatertib,” katanya.

Beliau berkata, KKM memandang serius berhubung dengan salah laku dalam penggunaan media sosial dan kecenderungan pegawai membuat penyataan awam secara tidak wajar.

“Setiap kes yang diadukan atau dikenalpasti sekiranya sabit kesalahan, hukuman tatatertib akan dikenakan berdasarkan kepada peraturan yang berkuatkuasa,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here