UMNO telah memuktamadkan pendiriannya untuk terus menyokong pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen terbubar.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengumumkan parti itu telah memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Menurut Ahmad, satu perjumpaan khas antara pemimpin tertinggi Umno, Bersatu dan Pas telah diadakan pada 15 Februari lalu.
“Di dalam pertemuan tersebut Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar Umno membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan kerjasama dengan Bersatu sebelum sebarang rundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU-15,” katanya.
Ahmad juga memaklumkan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno telah mengadakan mesyuarat pada 19 Februari lalu untuk menentukan hasrat permintaan Presiden Bersatu itu diterima atau sebaliknya.
“Justeru, keputusan ini dicapai setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya
Hubungan Umno-Bersatu kembali hangat apabila Umno telah menghantar surat kepada Muhyiddin untuk menarik sokongannya terhadap Kerajaan PN.
Sementara itu, pucuk pimpinan Bersatu akan mengadakan mesyuarat pada petang ini bagi menentukan hala tuju parti itu susulan tindakan terbaru Umno. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/04/umno-tamat-kerjasama-bersatu-akan-buat-ketetapan-petang-ini-hamzah/
