DISKAUN 20 peratus ditawarkan Zoo Negara bagi tiket dewasa dan kanak-kanak sebagai usaha menarik pengunjung sempena pembukaannya bermula Jumaat ini.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmad Lana berkata, pembukaan itu mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) ketat tetap dilaksanakan dengan hanya 2,500 pengunjung dibenarkan pada satu masa bermula 9 pagi hingga 5 petang dengan penjarakan fizikal lima meter.
“Kami bersyukur dan berterima kasih walaupun dalam tempoh PKPB (sebelum ini), kunjungan begitu menggalakkan. Kami sebenarnya bimbang kerana sekiranya Zoo Negara belum dibuka, kami akan mengalami masalah,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Rosly berkata, sepanjang PKP pihaknya menerima sumbangan lebih RM11 juta daripada badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), badan sukarelawan serta individu sejak Januari 2020 hingga Januari 2021.
Menurutnya, sumbangan bagi membeli bekalan makanan haiwan, perubatan serta menguruskan haiwan secara berterusan itu dijangka hanya mampu bertahan hingga April ini sahaja.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 500 kilogram ikan rohu dan 400 kilogram ikan keli Afrika dilepaskan di Tasik Tunku Abdul Rahman di zoo berkenaan yang dibuka kepada pemancing sejak 20 Februari lalu pada jam 9 pagi hingga jam 3.30 petang.
Katanya, pematuhan SOP ketat turut dikenakan dengan mengehadkan 70 hingga 90 orang sehari, manakala ikan yang ditangkap melebihi 10 kilogram akan diserah kembali kepada pihak zoo. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

