Nurul Huda Abhar
Uncle Kentang atau Kuan Chee Heng hari ini mengejutkan warganet apabila mengumumkan ingin mengundur diri sebagai aktivis masyarakat.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya, Chee Heng turut menyatakan sedang mencari pengganti untuk menguruskan kerja-kerja kebajikannya selama ini.
“Siapa yang ingin warisi kerja kita? Saya perlu cari seorang pengganti untuk run (urus) semua kerja tak waras (kerja kebajikan) ini. Kalau minat call saya 019 2316666. Kita duduk dan bincang.
“Saya nak berundur dan letak jawatan saya kini agar saya dapat rehat dan tumpukan kepada keselamatan dan keharmonian negara serta bisnes untuk anak-anak saya,” tulisnya.

Menurut Chee Heng lagi, calon yang dikehendakinya perlu dari Lembah Kelang kerana lokasi tersebut adalah pusat kemiskinan bandar yang ketara.
Digelar Uncle Kentang sejak mula dikenali, dia berkata sudah letih serta menganggap seperti membuang masa melayan kerenah masyarakat yang dihadapinya.
“Buat cerita dengan saya kata ada hutang bil hospital tertunggak berbelas ribu. Saya dapat confirmation (pengesahan) dari hasil (Lembaga Hasil Dalam Negeri), hospital dan (Pusat) zakat telah jelaskan.
“Inilah manusia yang cuba menipu. Dunia ohhh dunia,” katanya lagi.
Kata Chee Heng, kini badannya sudah uzur dan memerlukan lebih banyak rehat, oleh itu kemungkinan dia hanya akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan ambulans, komuniti dan urusan kematian sahaja.
Ulasnya lagi, jika dipandang melalui umur, dirinya kini semakin hampir untuk berpencen dan seharusnya peluang diberi kepada insan lain untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Rata-rata komen warganet terkejut dengan keputusan Uncle Kentang, dan terdapat juga komen yang memujuk agar beliau kembali bersemangat berbakti untuk masyarakat.
“Jangan undur uncle. Perjuangan belum selesai,” tulis Firdaus Bob Tailors.
“Jangan macam tu uncle, bukan semuanya layak dan mampu buat macam mana uncle lakukan,” komen Zuridi Nar.
“Hanya insan istimewa with golden heart sahaja boleh buat kerja ini, uncle. May you find that special, one in million person,” balas Sarah Nilda.
“Memang ramai yang suka ambil kesempatan atas kebaikan orang, moga uncle di kurniakan kesabaran dalam perjuangan kebajikan uncle,” kata Noorhafizan Nayan.
Kredit Foto: unclekentang.com

