SERAMAI 53,287 individu di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech setakat semalam.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitternya sebentar tadi.
Menerusi infografik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), penerima vaksin tertinggi adalah di Sarawak iaitu 9,737 individu, diikuti Perak (5,714), Pahang (5,696) dan Kuala Lumpur (5 601).
Pada masa sama, Khairy berkata seramai 1,741,364 individu di Malaysia telah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 setakat jam 8 pagi tadi.
Penerima fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula Rabu lalu adalah dalam kalangan petugas barisan hadapan serta Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah pendaftaran secara dalam talian bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ialah melalui laman web www.vaksincovid.gov.my.
Orang ramai turut boleh melakukan pendaftaran dengan menghubungi talian hotline atau hadir di fasiliti klinik kesihatan awam serta swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula Selasa lalu menerusi aplikasi MySejahtera. – Malaysiapost

