Warisan serah surat peletakan jawatan Adun Sebatik

0
2

PARTI Warisan Sabah (Warisan) mengemukakan surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, hari ini ke pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Surat itu dihantar Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua, tengah hari tadi susulan tindakan Hassan meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan, baru-baru ini.

Ia dikemukakan bersama surat daripada firma guaman didakwa mewakili Hassan yang menerima arahan untuk menyerahkan surat peletakan sebagai Adun.

Selain Speaker DUN, salinan surat itu turut diserahkan kepada Setiausaha Sulit Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Surat bertajuk ‘Peletakan Jawatan Serta Merta Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah’ itu menjelaskan tindakan itu selaras dengan ikrar kesetiaan kepada Warisan.

Ia turut menyatakan bahawa Hassan faham mengenai tindakannya menyebabkan dia tidak layak untuk menjadi Adun selama lima tahun bermula dari tarikh surat itu.

Difahamkan, surat itu ditandatangani ketika Hassan dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) September lalu selepas menyatakan ikrar taat setia kepada parti.

Selain Hassan, semua wakil rakyat Warisan juga menandatangani surat yang sama, menyatakan bahawa mereka perlu meletak jawatan sebagai Adun jika bertindak keluar parti.

Semalam, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya menyerahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan terhadap Hassan kerana melanggar ikrar untuk tidak mengkhianati rakyat yang dilafaz dan ditandatanganinya sebelum ini.

Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, beliau dukacita dengan kepemimpinan Warisan yang masih mahu berpolitik ketika rakyat sedang berdepan dengan kesukaran akibat penularan Covid-19.

Beliau juga menyatakan kekecewaan dengan tindakan parti menolak Belanjawan 2021 yang disifatkannya jelas membelakangi kepentingan rakyat. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/01/warisan-teliti-tindakan-undang-undang-adun-sebatik/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here