2 MP lompat parti : ‘Saya dapat maklumat libatkan jutaan ringgit’ – Anwar

0
2

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Ahli Parlimen Tebrau dan Julau ditawarkan jutaan ringgit untuk meninggalkan parti itu dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Anwar berkata, beliau yakin kedua-dua Ahli Parlimen itu menerima tekanan lain selain daripada tawarkan dengan sejumlah wang.

“Memang benar hak mana-mana ahli untuk memilih parti dia. Tetapi dalam kes dua ahli Parlimen keluar sudah tentunya ada tekanan lain.

“Saya dapat maklumat jutaan ringgit tetapi kalau nampak tak boleh (mereka) guna agensi penguat kuasa. Tak ada masalah kalau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau lembaga cukai dia berhak teruskan tindakan kepada pembangkang dan kerajaan.

“Menteri-menteri yang mewah pun begitu (ambil tindakan). Yang kita tahu kehidupan mewah kenapa tak disentuh,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Hotel Pacific Regency di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengecam tindakan tersebut dan menyatakan ianya tidak beretika.

“Jadi kalau nak ambil tindakan termasuk kepada pembangkang, silakan. Tetapi jangan gunakan ini, sebagai satu tarik tali untuk menekan mereka supaya melompat ke parti lain. Paling tak etika dan paling bankrap dari segi politik ini dilakukan. Ini tentu akan lawan dan dedah kerja ini,” ujarnya.

Anwar berkata, PN masih tidak berjaya meraih sokongan majoriti meskipun menerima sokongan daripada dua ahli Parlimen PKR baru-baru ini.

“Dengan dua yang lompat mereka masih minoriti. Jauh jumlahnya kecil daripada kita,” katanya lagi.

Terdahulu, dua Ahli Parlimen itu mengumumkan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada kerajaan PN.

Perkara itu dikongsi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin di laman Facebook selepas menerima akuan bersumpah daripada Steven dan Larry.

Mengulas mengenai beberapa Adun dari Parti Amanah Negara (PAN) yang menyertai PKR, Anwar berkata, mereka diminta untuk berurusan dengan pucuk pimpinan parti mereka terlebih dahulu.

“Tetapi kita minta perkara ini dibincang dan dileraikan dengan cara baik di antara PKR dan Amanah. Tidak terjejas sangat, saya fikir tidak terjejas, saya masih berhubung rapat dan baik dengan Amanah,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2020/10/10/tuduh-mp-umno-lompat-parti-sokong-anwar-shahidan-lapor-polis/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here