“PENGALAMAN ini satu testimoni supaya rakyat dan masyarakat tidak menaruh apa-apa kebimbangan,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Berkongsi pengalamannya menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech hari ini, beliau berkata, ia bermula sesi pendaftaran, pengisytiharan taraf kesihatan serta persetujuan menerima dos suntikan secara sukarela.
“Proses suntikan berjalan dengan baik, Kementerian Kesihatan (KKM) susun dengan teratur dan protokol yang kemas,” katanya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 itu di Klinik Kesihatan Titiwangsa, ibu negara.
Seramai 40,000 petugas barisan hadapan di Wilayah Persekutuan akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Sementara itu, Annuar juga meyarankan agar rakyat mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin.
“Kalau belum download MySejahtera, eloklah segera, sangatlah perlu. Eloklah semua orang Ada MySejahtera dan melaluinya cepat-cepat membuat pendaftaran supaya mendapat giliran untuk divaksin,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata rakyat tidak perlu bimbang mengenai pengambilan vaksin Covid-19 kerana ketika ini seluruh dunia sedang melakukannya demi mencegah pandemik yang berlarutan lebih setahun itu.
“Tak ada sebarang kebimbangan, baik dari segi hukum syarak atau dari sudut kesihatan dan sebagainya kerana seluruh dunia sedang melakukan perkara ini.
“Berjuta individu setiap hari disuntik dengan vaksin ini jadi eloklah kita bersama menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan kerajaan,” katanya.
Beliau dijadualkan menerima dos kedua pada 23 Mac depan juga menasihati orang ramai supaya jangan takut menghadapinya. – Malaysiapost

