POLIS menahan tiga lelaki kerana disyaki mengamuk di sebuah restoran di Brickfields yang tular di media sosial, malam tadi.

Kejadian amuk itu dipercayai berlaku selepas pesanan makanan mereka tidak diambil oleh restoran berkenaan setelah tempoh operasi tamat pada jam 10 malam, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata akibat tidak puas hati suspek berumur 27 hingga 35 tahun mula membaling kerusi.
“Waktu itu jam sudah lebih 10 malam dan kedai itu tidak mahu menyajikan makanan kerana hendak menutup operasinya mengikut SOP (prosedur operasi standard) PKP yang ditetapkan,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.

Saiful Azly berkata susulan laporan dibuat pemilik restoran, anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields melancarkan operasi memburu semua suspek dan tiga daripada mereka ditahan awal pagi tadi.
Katanya, kesemua suspek dalam proses ditahan reman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata.

“Polis juga sedang memburu saki baki mereka yang mengamuk di restoran terbabit,” katanya. – Malaysiapost

