TAKWIM Persidangan Parlimen yang tular di media sosial sejak semalam, adalah takwim asal Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Rakyat sebelum pengisytiharan darurat Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia, berdasarkan Perenggan 14(2) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, mana-mana Mesyuarat Parlimen yang telah dipanggil sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Ordinan ini tetapi belum diadakan adalah dibatalkan.
“Oleh yang demikian, takwim asal tersebut tidak lagi terpakai,” menurutnya menerusi kenyataan media lewat malam tadi.
Semalam, terdapat laporan yang memetik laman sesawang Parlimen memaparkan takwim mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-14 akan bermula 8 Mac dan tamat pada 8 April.
Pada 24 Februari lalu, Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri. – Malaysiapost

