3 Adun masuk PKR: Amanah Johor akui belum terima surat

0
3

PARTI Amanah Negara (Amanah) Johor mengesahkan belum menerima surat rasmi daripada tiga Ahli Dewan Undangan (Adun) parti itu yang mengisytiharkan menyertai PKR.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, berkata pihaknya juga belum menerima sebarang makluman daripada tiga Adun berkenaan.

“Apa-apa pun kita akan serahkan kepada pihak pucuk pimpinan Amanah Nasional untuk mengambil tindakan terhadap Adun berkenaan. Buat sementara ini, kita masih menanti apa yang tindakan susulan lanjut daripada Adun berkenaan dan pucuk pimpinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim, dilaporkan mengakui beliau bersama dua lagi Adun Amanah dari Johor sudah menyertai PKR.

Dua lagi Adun berkenaan adalah Adun Serom Faizul Amri Adnan dan Adun Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Dalam pada itu, Aminolhuda yang juga Adun Parit Yaani berkata, tindakan tiga Adun berkenaan menyertai PKR adalah bagi mencari peluang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Amanah Johor difahamkan mereka ditawarkan kerusi di beberapa kawasan di negeri itu.

“Seperti mana yang kita maklum, terdapat tawaran kepada mereka untuk bertanding di kerusi yang bakal ditandingi atas tiket PKR.

“Seharusnya sebagai mengekalkan semangat setia kawan dalam PH, tidak sepatutnya PKR menerima tiga Adun Amanah menyertai parti mereka.

“Ini akan menimbulkan pelbagai persepsi sesama komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan itu seharusnya diterima dengan jiwa yang besar oleh PKR itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menzahirkan rasa kurang selesa terhadap tindakan PKR menyambut baik ‘lompatan’ tiga wakil rakyatnya ke parti itu.

Menerusi satu ciapan di Twitter, Salahuddin berkata, kedua-dua parti yang mendokong Pakatan Harapan (PH) itu sepatutnya menjaga semangat setiakawan antara satu sama lain. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/28/tak-manis-pkr-terima-lompatan-wakil-rakyat-amanah-salahuddin/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here