TMJ sumbang RM100,000 lagi kepada Ebit Lew

0
2

PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew terus menerima sokongan dalam melaksanakan misi amalnya membantu rakyat terutama ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19. 

Usahanya sekali lagi mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkenan memberi sumbangan sebanyak RM100,000 semalam. 

Ebit mengakui terharu dengan keprihatinan pemilik pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) itu yang sentiasa risaukan keadaan rakyat dan menyokong segala usaha yang dilakukan pihaknya. 

“Terharu gembira dapat mengadap DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor di Istana tadi (semalam). Tunku risau keadaan rakyat, kesusahan dan penderitaan mereka. Berbincang dan menyokong usaha saya lakukan. 

“Saya sendiri melihat setiap hari Tunku dan Tuanku Sultan Johor membantu rakyat. Terharu layanan mesra dan bersungguh-sungguh Tunku memberi kata semangat,” katanya yang dikongsikan di laman Facebooknya. 

Menurutnya, banyak perkara dibincangkan yang semuanya mengenai kebaikan bersama. 

“Teringat kisah Khalifah dulu yang memikirkan keadaan rakyat. Subhanallah, semoga Allah memberkati Tunku dan keluarga. 

“Tadi Tunku dan JDT memberi sumbangan banyak Rm100 ribu. Baru ini Rm200 ribu,” katanya. 

Ebit berkata, Tunku Ismail selalu mesej bertanyakan bantuan apa yang diperlukan dan dikongsikan bersama rakyat selain turut menawarkan tempat penginapan jika singgah di Johor. 

“Terasa malu dan segan. Saya cuma orang biasa. Tapi TMJ layan macam kawan-kawan sahaja. Allah sayang TMJ. Semoga Allah terima jadi asbab kebaikan,” katanya. 

Pada 5 Februari lalu, TMJ menerima kunjungan pendakwah popular itu di kediaman rasmi di Istana Bukit Pelangi.

Tunku Ismail turut menzahirkan rasa kagum dengan usaha Ebit Lew dalam menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan dari seluruh negara, termasuk di Johor.

Baginda menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM200,000 dalam pertemuan itu yang kemudiannya digunakan oleh pendakwah itu untuk membeli 500 unit tab bagi pelajar yang memerlukannya bagi menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here