Wanita Umno ‘tulang belakang’ parti – Ahmad Zahid

0
3
Umno wanita chief Datuk Noraini Ahmad and Datuk Norliza Abd Rahim posing with wanita umno members during the Wanita umno general assembly meeting in PWTC

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Wanita Umno sebagai ‘tulang belakang’ parti itu kerana status sayap berkenaan digeruni lawan politik sejak sekian lama.

Malah, Presiden Umno itu berkata, tidak pernah sesekali beliau mahupun pemimpin parti ini menidakkan atau memandang tidak mustahak peranan sayap parti itu.

Menurutnya, kelmarin beberapa ahli Wanita Umno memintanya menulis tentang pandangan berhubung peranan mereka.

“Mungkin kerana saya kebelakangan ini agak aktif menulis di media sosial, mereka membuat permintaan itu.

“Alhamdulillah, semalam saya berkesempatan meluangkan masa memenuhi hasrat mereka.

“Saya terlebih dahulu memenuhi permintaan mereka dengan menulis kata-kata yang berbunyi ‘tangan yang mengayun buaian boleh menggoncang dunia’,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, dalam peribahasa tersebut, kaum wanita telah digambarkan secara hebat dalam sebuah ungkapan yang cukup padat.

“Bagi saya, kata-kata itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa tinggi pandangan saya terhadap peranan wanita dalam perjuangan parti keramat Umno.

“Ia secara tersirat bermaksud wanita walau bersifat lemah-lembut dan keibuan, peranan, sumbangan dan jasa mereka dalam membangunkan Umno tidak boleh disangkal.

“Sejarah pernah menyaksikan perjuangan Wanita Umno dalam memupuk kesedaran serta semangat tinggi dalam kalangan kaum wanita untuk mengisi kemerdekaan,” katanya.

Seterusnya, katanya, sejarah juga menyaksikan betapa bingkas perjuangan Wanita Umno dalam memartabatkan kedudukan kaum wanita di negara ini.

“Melalui berbagai-bagai cabaran dan bersama-sama dengan tenaga Umno keseluruhannya mengatasi cabaran tersebut.

“Kerana itu sebelum saya diamanahkan oleh akar umbi memimpin Umno, saya telah pun tahu betapa berpengaruh dan pentingnya peranan wanita dalam perjuangan parti keramat ini,” katanya.

Mengulas lanjutkan, beliau berkata, Wanita Umno hari ini merupakan komponen Umno terbesar, malah terdapat cawangan dan bahagian, ahlinya melebihi ahli lelaki.

“Benar. Seperti juga ahli Umno lelaki, ada juga dalam kalangan mereka yang tersasar daripada perjuangan. Ibarat katak mencari hujan.

“Malah wanita lazimnya berketuakan tokoh yang mengutamakan parti dan tidak dirinya.

“Satu penghormatan yang besar kepada kesetiaan ahli Wanita Umno Malaysia diatas perjuangan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Justeru, beliau berkeyakinan Wanita Umno akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan kebangkitan penuh parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Bersama-sama Pemuda dan Puteri Umno terus bangkit dalam usaha membantu parti untuk terus bergerak ke hadapan dalam mendepani cabaran hari ini,”tegasnya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here