KDN perkukuh sempadan negara melalui pelan strategik

0
3

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan memberi fokus utama terhadap kawalan sempadan negara melalui Pelan Strategik KDN 2021-2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ia bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman negara sentiasa terpelihara.

Katanya, kawalan sempadan negara akan diperketat dan diperkukuhkan dengan mentransformasi pengurusan serta tadbir urusnya.

Menurutnya, pengurusan sempadan darat dan laut pada tahun ini akan diperkukuhkan melalui pendekatan lima sempadan hadapan (five-front approach) iaitu sempadan utara Kedah, sempadan utara Kelantan, Selatan, Sabah dan Sarawak.

“Keperluan untuk pembinaan pagar sempadan, penggunaan teknologi terkini seperti CCTV (kamera litar tertutup), radar serta dron dan pembinaan pos-pos kawalan adalah berbeza mengikut front yang berkenaan,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian dalam majlis Amanat Menteri Dalam Negeri 2021 yang disiarkan melalui laman rasmi KDN hari ini.

Hamzah berkata, pihak kementerian juga akan terus memperkukuh dasar dan perundangan dengan melaksanakan kajian dan pindaan ke atas akta-akta di bawah bidang kuasa KDN bagi memperkasakan aspek penguatkuasaan.

Katanya, dalam usaha membanteras gejala dadah dan substans, dasar pengalihan penyalahgunaan dadah daripada hukuman penjara ke program rawatan dan pemulihan dadah yang ditetapkan pada tahun lalu, akan dimantapkan pada tahun ini.

Ini dilaksanakan melalui penggubalan rang undang-undang baharu dikenali Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substans bagi menggantikan Akta Penagih Dadah 1983.

Beliau berkata, pengukuhan pendekatan, rawatan dan pemulihan secara sukarela sedia ada perlu dilaksanakan dan inisiatif untuk penambahbaikan bagi memastikan keberkesanannya dibuat melalui Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela yang dibangunkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Dengan adanya modul baharu ini, diharapkan lebih ramai penagih akan tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan pemulihan,” katanya.

Menurutnya, KDN akan memperkasakan usaha pendigitalan perkhidmatan yang berteknologi dan berkapasiti tinggi bagi meningkatkan perkhidmatan end-to-end dalam urusan yang ditawarkan kepada rakyat.

Menurutnya, KDN dipertanggungjawabkan sebagai kementerian teraju untuk memulakan inisiatif membangunkan Identiti Digital Nasional (IDN) di bawah Digital Economic Blueprint yang merupakan satu daripada inisiatif pendigitalan dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) negara.

Sejak menerajui KDN pada Mac 2020, Hamzah berkata, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bagi memelihara keselamatan dan ketenteraman negara terutama ketika pandemik Covid-19 berpandukan kepada tiga teras iaitu pemerkasaan keselamatan dan ketenteraman awam; pengukuhan keselamatan sempadan, kawasan maritim dan pintu masuk; serta pemantapan institusi dan sistem perkhidmatan.

Antara pencapaian pada tahun lalu ialah pelaksanaan Pelan Rekalibrasi pendatang tanpa izin (PATI) yang melibatkan dua program iaitu Rekalibrasi Pulang dan Rekalibrasi Tenaga Kerja,antara lain bertujuan merekodkan data PATI dan mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan mereka.

Sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 6,634 operasi ke atas pendatang tanpa izin dilaksanakan, dengan seramai 22,522 orang pendatang tanpa izin dan 387 majikan ditahan.

Sepanjang tahun lalu katanya, Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan 11 sindiket berkaitan PATI dan jenayah rentas sempadan manakala 111 orang dalang dan ahli sindiket daripada pelbagai warganegara ditahan.

“Antara sindiket yang berjaya ditumpaskan ialah sindiket pemalsuan dokumen, penipuan dan salah guna pas, ejen haram, dan pemalsuan cap keselamatan JIM,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/25/belum-bincang-tarikh-buka-sempadan-negara/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here