Vaksin Covid-19: Ikhtiar, usaha dan bertawakal kepada Allah

0
3

ISLAM mengajar umatnya untuk berikhtiar dan usaha dalam menyelesaikan sesuatu perkara termasuk merawat penyakit.

Kemudian, bertawakalah agar ikhtiar yang telah diusahakan itu mendapat keredaan dan dan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Dalam khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Perak bertajuk “Vaksin sebagai ikhtiar, penyakit jangan dibiarkan”.

Koronavirus ialah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan.

Terdapat beberapa jenis koronavirus; yang paling baru ditemui, dikesan buat pertama kalinya, pada bulan Disember 2019 di bandar raya Wuhan, Wilayah Hubei, China, dinamakan Koronavirus-19, atau rujukan ringkas Covid-19.

Dua bulan selepas pesakit pertama dikenal pasti, Covid-19 telah menjadi wabak, menjangkiti 45,000 orang pesakit serta mengakibatkan 1,500 kematian di Wuhan.

Pada 11 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, mengisytiharkan Covid-19 sebagai satu pandemik. Wabak tersebut kini telah merebak ke serata dunia, menjangkiti lebih 112 juta orang, dan mengakibatkan kematian mencecah 2.5 juta
orang.

Di Malaysia, rekod pada 23 Februari 2021, mencatatkan lebih 285,000 orang telah dijangkiti, mengakibatkan 1077 kematian.

Virus Covid-19 terus mengancam nyawa dan sangat menjejaskan kehidupan harian manusia.

Menjadi tuntutan fardu kifayah untuk manusia berusaha menangani penyakit dan merawat pesakit, begitu juga tuntutan berikhtiar mencegah penularan wabak. Sabda Nabi SAW: (Riwayat Al-Bukhari 5678) Maksudnya: Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.

Alhamdulillah dengan izin dan rahmat Ilahi, usaha gigih yang dirintis oleh para penyelidik dan saintis telah membuahkan hasil.

Vaksin untuk meningkatkan imuniti atau daya kekebalan tubuh, menghadapi virus Covid-19, berjaya ditemui.

Suntikan vaksin diberikan sebagai persediaan atau latihan kepada sistem ketahanan badan untuk melawan virus.

Vaksin yang disuntik, berfungsi merangsang sistem pertahanan badan manusia agar lebih berupaya bertahan ketika menghadapi serangan virus.

Dalam bahasa yang mudah, setelah diberikan suntikan vaksin, insyallah tubuh manusia akan ditingkatkan daya tahan menghadapi virus Covid-19.

Demi memastikan sesuatu vaksin yang baru dicipta, selamat untuk digunakan, vaksin tersebut perlu melalui pelbagai lapisan ujian yang melibatkan puluhan ribu orang, sebelum diberikan kelulusan untuk kegunaan orang ramai.

Sehingga 18 Februari 2021, lebih 181 juta dos vaksin Covid-19 telah diedarkan ke seluruh dunia. Pada 21 Februari yang lalu, vaksin Covid-19 telah selamat tiba di negara kita.

Susulan daripada itu, kerajaan pada 24 Februari yang lalu, memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai ikhtiar untuk meningkatkan daya tahan rakyat daripada dijangkiti virus.

Amalan imunisasi bukan perkara asing dan baharu. Bermula dari tahun sembilan belas lima puluhan (1950an), pelbagai program imunisasi telah dilaksanakan di negara kita.

Ketika ini, 11 jenis vaksin diberikan untuk mencegah 13 jenis penyakit, antaranya vaksin mencegah penyakit Polio dan Batuk Kering. Semua jemaah haji dan umrah, telah sekian lama, diwajibkan
mengambil vaksin Meninggokokus untuk melindungi para jemaah daripada penyakit Meningitis.

Kerajaan merancang memberi vaksin Covid-19 kepada 26.5 juta orang, menyamai 70 peratus penduduk Malaysia, yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa, mengikut kumpulan yang ditetapkan dalam tempoh masa setahun. Program Imunisasi Covid-19, merupakan program imunisasi terbesar yang pernah dilakukan oleh kerajaan.

Pengambilan vaksin Covid-19, wajib diutamakan, juga wajib disegerakan sebagai persediaan diri menghadapi ancaman dan serangan musuh berbentuk virus yang begitu kecil lagi halus.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 3 Disember 2020, telah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus; manakala kepada golongan yang ditetapkan kerajaan Malaysia untuk mengambil vaksin, hukumnya adalah wajib. Ketetapan ini telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

Keputusan ini bertitik tolak daripada kepentingan kita memelihara nyawa (Hifzu An-Nafsi) sebagai salah satu Maqasid Syariah yang sangat ditekankan di dalam Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 195: Maksudnya: ….janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan….

Kesimpulannya, pengambilan suntikan vaksin ini sangat penting untuk meningkatkan daya ketahanan diri, terutama bagi golongan berisiko tinggi.

Untuk bersifat adil kepada tubuh badan, seseorang manusia wajib menggunakan akal, berikhtiar dan berusaha agar tubuh diperlengkap dengan perisai pertahanan ketika menghadapi ancaman musuh.

Mengambil suntikan vaksin ialah ikhtiar dan usaha yang dilaksanakan selaras dengan ajaran yang dianjurkan oleh agama Islam.

Selepas menerima suntikan, bertawakallah, agar ikhtiar yang telah diusahakan itu mendapat keredaan dan dimakbulkan Ilahi. Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 159: Ertinya: Apabila engkau telah berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/19/pengimarahan-masjid-dibenarkan-di-kawasan-pkpb-jawi/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here