Aktiviti MICE, mesyuarat bersemuka, muzik jalanan dibenarkan di kawasan PKP

0
2

AKTIVITI mesyuarat, inisiatif, persidangan dan pameran (MICE) serta mesyuarat bersemuka dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 5 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata aktiviti itu dibenarkan dengan had kehadiran 25 peratus kapasiti premis atau maksima 250 orang atau jumlah lebih kecil dengan mematuhi aspek penjarakan fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) asas yang lain.

Menurutnya, kebenaran itu diberikan selepas Jawatankuasa Teknikal PKP termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti kesan dihadapi penggiat industri yang kerugian teruk selain ramai kehilangan pekerjaan.

“Semalam Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya membentangkan hasil dari industri MICE bagi 2020 menurun kepada RM2.25 bilion, berkurangan sehingga 90 peratus berbanding 2019 yang menyumbang RM9.25 bilion kepada ekonomi negara.

“Selain itu, lebih 5,000 pekerja bagi industri ini telah hilang pekerjaan dan pemain industri berhadapan situasi gulung tikar dalam masa terdekat.

“Setelah berbincang, kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti MICE serta mesyuarat bersemuka di kawasan PKP bermula 5 Mac ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan turut membenarkan aktiviti muzik jalanan membabitkan pemuzik jalanan atau ‘buskers’ di kawasan restoran, kedai makan, gerai atau medan makan mulai esok di kawasan PKP.

“Kerajaan juga menerima rayuan daripada pemuzik jalanan atau buskers sepenuh masa khususnya yang menjalankan aktiviti mereka di kedai-kedai makan agar dibenarkan termasuk di kawasan PKP.

“Selepas berbincang, mesyuarat teknikal semalam bersetuju untuk membenarkan mereka menjalankan aktiviti di kawasan PKP, sama seperti di kawasan PKPB dan PKPP dengan syarat mematuhi semua SOP asas termasuk menjaga jarak dengan pengunjung,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here