Hanya tunjuk surat dari sekolah untuk rentas daerah, negeri

0
2

IBU bapa dan penjaga yang perlu merentas daerah atau negeri bagi menghantar anak ke sekolah atau asrama bagi sesi persekolahan yang dibuka mulai 1 Mac ini, hanya perlu menunjukkan surat kebenaran dikeluarkan guru atau pihak sekolah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju bahawa ibu bapa.tidak perlu lagi mendapatkan surat kebenaran polis, namun hanya perlu menunjukkan surat dikeluarkan pihak sekolah ketika sekatan jalan raya (SJR).

“Sebagai contoh, untuk memasuki asrama di luar daripada daerah dan negeri, di SJR hanya perlu menunjukkan surat kemasukan asrama yang boleh dikeluarkan oleh guru atau sekolah,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, perkara itu sudah dibincangkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beliau difahamkan ia sudah dimaklumkan kepada anggota polis di seluruh negara.

“Saya menjangka perkara ini tidak akan menjadi isu di SJR apabila ibu bapa menghantar anak ke sekolah kelak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata hampir setiap hari kerajaan menerima banyak rayuan daripada pelbagai sektor ekonomi untuk membenarkan mereka beroperasi khususnya di kawasan PKP kerana di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hampir keseluruhan sektor ekonomi telah dibuka.

“Kerajaan memahami serta sentiasa mendengar keluhan rakyat malah apa jua keputusan diumumkan sebelum ini sebenarnya telah mengambil kira risiko serta laporan data daripada pihak berkaitan terutamanya Kementerian Kesihatan (KKM).

“Jumlah kes Covid-19 masih empat digit dan kerajaan sentiasa berhati-hati sebelum membuat keputusan demi memastikan keselamatan rakyat terjamin sekali gus mengekang penularan Covid-19

“Rayuan dan permintaan orang ramai dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal PKP dan kerajaan masih mempertimbangkan untuk membenarkan atau tidak beberapa aktiviti lain untuk beroperasi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan memahami permasalahan dihadapi rakyat sejak pandemik Covid-19 yang memberi impak besar dari segi ekonomi dan kehidupan seharian.

“Mungkin ada pihak tidak bersetuju mengenai beberapa keputusan yang dibuat kerajaan tetapi ia mengambil kira beberapa perkara penting terutama kelangsungan hidup kerana sebahagian besar daripada mereka ini terdiri daripada golongan tidak mempunyai pendapatan tetap dan juga golongan berpendapatan rendah

“Justeru, masih banyak lagi perkara yang memerlukan pertimbangan dan penelitian terperinci,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/16/sjr-masih-relevan-fokus-kawasan-bersasar-musa-hassan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here