Disaman kerana nombor pendaftaran, bukan ekzos bising

0
3

KUMPULAN penunggang motosikal berkuasa tinggi yang tular kerana dikatakan disaman polis atas kesalahan ekzos bising, sebenarnya disaman kerana nombor pendaftaran ‘fancy’.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melalui satu kenyataan menjelaskan gambar mengenai kejadian itu yang tular di media sosial telah disalah tafsir.

“JSPT mendapati satu gambar telah tular di media sosial mengaitkan tindakan saman atas kesalahan ekzos bising pada motosikal jenis Harley Davidson.

“Gambar tersebut telah disalah tafsir memandangkan tindakan saman dikenakan adalah bagi kesalahan nombor pendaftaran fancy dan bukan kesalahan ekzos bising semasa operasi JSPT Kontinjen Kuala Lumpur bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 20 Februari 2021 di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, operasi dijalankan itu bertujuan untuk menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sedia ada terhadap semua pengguna kenderaan, termasuk bagi kesalahan ubah suai ekzos menyebabkan bunyi bising melebihi had dibenarkan.

“JSPT ingin menegaskan mana-mana kenderaan yang menggunakan peralatan dan aksesori mengikut spesifikasi keluaran asal kilang adalah tidak melakukan kesalahan.

“Bagaimanapun, sekiranya terdapat pengubahsuaian tanpa mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah menjadi suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Pihak JSPT turut menggesa pengguna dan pemilik kenderaan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang agar tidak melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran demi memastikan keselamatan dan keselesaan awam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here