Jual minuman keras tanpa lesen, MPS rampas 1,000 botol arak

0
3

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merampas dan menyita lebih 1,000 botol arak di dua kedai yang menjual arak tanpa lesen yang sah dalam serbuan di Taman Seri Gombak malam tadi.

Serbuan itu dijalankan oleh sepasukan tiga penolong pegawai penguat kuasa dan 19 anggota penguat kuasa dan keselamatan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

MPS menerusi kenyataan berkata pemeriksaan mendapati, selain tiada lesen perniagaan sah dan terkini, sebahagian botol arak yang dirampas tidak mempunyai kebenaran import daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Malah, minuman keras tersebut tiada dokumen kelulusan dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.

“Tindakan sitaan yang dibuat mengikut Undang Undang Kecil 3(1) Perlesenan Establisymen Makanan (MPS) 2007.

“MPS memberi amaran kepada semua agar memastikan sebarang perniagaan yang hendak dijalankan haruslah mendapat kebenaran dari pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengelak tindakan dikenakan,” katanya.

Anggota penguat kuasa MPS merampas botol arak yang dijual tanpa lesen sah di Taman Sri Gombak. – Foto MPS





Kredit Foto: Majlis Perbandaran Selayang