NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) agar Parlimen dibolehkan untuk bersidang semasa tempoh darurat.
Sehubungan itu, katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hendaklah menasihati YDPA dengan satu tarikh yang difikirkan sesuai.
“Sudah pasti keputusan dan titah sedemikian akan disambut baik oleh semua pihak.
“Kepada semua Ahli Parlimen, tidak kiralah dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, ambillah ruang dan peluang ini untuk kembali bersidang.
“Bahaskanlah secara serius serta objektif akan jalan keluar dari segala kemelut
ekonomi dan kesihatan awam yang sedang kita hadapi ini,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, ini adalah peluang terbaik untuk semua Ahli Parlimen membukti dan
mengembalikan kekuatan Parlimen sebagai medan sebenar suara rakyat.
“Ketepikan sebentar pergeseran ideologi politik dan perebutan kuasa. Sebaliknya, manfaatkanlah ruang ini untuk memberikan kepimpinan terbaik kepada masyarakat dan negara.
“Saya secara peribadi menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan dan Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini,” katanya.
Beliau turut berharap amalan demokrasi berparlimen negara ini akan terus matang.
“Dan kita semua akan mendapat manfaat yang selayaknya,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi Facebook Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam, turut menyambut baik titah YDPA bahawa Parlimen boleh bersidang dan tidak patut digantung.
Kata beliau, mereka menjunjung kasih YDPA dan mendukung demokrasi, akauntabiliti, ketelusan serta mendengar suara rakyat
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat dikuatkuasakan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.
Perkara itu dititahkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin menerusi kenyataan yang disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin semalam.
Baginda bertitah, anggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/24/guan-eng-rai-titah-agong-dengan-menu-sardin-siput-sedut-dan-kailan/

