Adakah kerajaan ini boleh bertahan? soal Anwar

0
3

Fitri Nizam

Pakatan Harapan (PH) bertekad untuk terus berusaha menjadi suara rakyat sambil meneruskan ikhtiar mengembalikan mandat, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian selepas mempersoalkan kewibawaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila hanya mendapat 111 undian ketika Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan hari ini.

“Kewibawaan kerajaan PN hari ini sekali lagi menjadi persoalan dan pertikaian selepas proses undian Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020.

“Adakah kerajaan ini boleh bertahan hanya dengan 111 sokongan ahli Parlimen atau akan ada lagi episod sogokan dengan segala ugutan dan tawaran pangkat atau jawatan,” soalnya menerusi laman sosial Facebook.

Anwar berkata, PH tidak akan berundur dalam perjuangan sebaliknya akan terus mempertahankan mandat rakyat dengan semangat, kekuatan dan setiakawan baru.

“PH juga bertekad untuk terus berusaha menjadi suara rakyat di Parlimen, sambil meneruskan ikhtiar mengembalikan mandat rakyat,” katanya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan PH berpuas hati dengan alasan yang diberikan tiga Ahli Parlimen yang tidak hadir semasa proses undian kerana sibuk dengan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung kelak.

Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020 bagi perkhidmatan tahun ini sebanyak RM7,184,083,200 secara undi belah bahagi.

RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 21 Julai lalu itu diluluskan selepas mendapat 111 undi menyokong daripada 217 Ahli Parlimen yang hadir.

Seramai 106 Ahli Parlimen tidak menyokong manakala lima Ahli Parlimen tidak hadir.



Kredit Foto: Facebook Anwar Ibrahim