Asri Janggut, Ayahanda Lee Tiger berdamai

0
3

Fitri Nizam

Perselisihan faham antara Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid dengan individu yang dikatakan tidak berpuas hati dengannya susulan pendedahan baru-baru ini, akhirnya terlerai.

Mohd Asri atau dikenali sebagai Asri Janggut menerusi Facebook Hot Burger Malaysia hari ini memaklumkan bahawa sudah mengadakan pertemuan dengan individu berkenaan yang dikenali sebagai Ayahanda Lee Tiger.

Berdasarkan kemaskini terbaharu itu, Mohd Asri berkata, pertemuan itu diadakan pada 13 Ogos lalu bagi meleraikan salah faham antara mereka.

“Saya dengan rela hati telah memohon jutaan maaf keatas ayahnda Lee Tiger dan semua ‘ayah ayah’ di dalam kawasan Sungai Buloh atas salah faham tersebut.

“Berikutan kenyataan ini jangan ada apa-apa fitnah lagi terhadap ayahnda Lee Tiger,” ringkasnya.

Mohd Asri turut memuat naik foto pertemuan dengan individu terbabit yang turut disertai Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Sebelum ini, Mohd Asri pernah mendedahkan bahawa beliau dihubungi individu yang mengaku sebagai ‘ayahanda’ kawasan Sungai Buloh berikutan tindakannya mendedahkan kegiatan judi dan penjualan rokok seludup di lokasi berkenaan.