HARI ini genap 71 tahun berlalunya peristiwa serangan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap Balai Polis Bukit Kepong di Johor yang mengorbankan 19 wira negara.
Walau telah lama berlalu, tarikh 23 Februari 1960 kekal terpahat dalam sejarah negara dan menjadi titik hitam yang tidak akan dapat dilupakan.
Menurut perkongsian di Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengganas komunis telah merancang untuk menyerang balai berkenaan kerana kedudukannya yang agak pedalaman, iaitu sejauh 10 kilometer dari Lenga, pekan kecil dalam daerah Muar.
Atas faktor tersebut, pengganas yakin mampu menewaskan kekuatan anggota balai yang kecil dengan mudah, selain ingin membalas dendam ekoran kekalahan dengan pasukan keselamatan di Pekan Labis.
“Dalam kejadian awal pagi itu, seramai 180 pengganas telah mengepung sekeliling kawasan balai dan melakukan serangan secara gerila terhadap anggota polis yang bertugas.
“Meskipun telah berjuang habis-habisan bagi mematah serangan musuh dan mempertahankan balai serta keluarga, akhirnya satu persatu anggota polis gugur menyembah bumi.
“Keberanian para isteri yang turut mengangkat senjata juga tidak mampu melawan bilangan musuh yang ramai,” menurut hantaran tersebut.
Peristiwa berdarah itu berakhir dengan 25 terkorban terdiri 15 anggota polis, empat anggota Auxiliary Police (AP) dan enam ahli keluarga termasuk dua orang awam.
Empat lagi anggota polis cedera parah manakala 40 pengganas telah ditumpaskan.
“Semoga perjuangan setiap anggota polis dan ahli keluarga yang terkorban serta tercedera dalam peristiwa tersebut akan sentiasa dikenang oleh kita semua.
“Marilah bersama kita sedekahkan Al-Fatihah buat para pejuang negara yang telah pergi. Semoga roh mereka dicucuri rahmatNya dan ditempatkan dengan para solihin,” tulis PDRM menerusi hantaran tersebut.
Berikut senarai 19 orang yang meninggal dunia:
- Sarjan 3493 Jamil bin Mohd Shah (Ketua Polis Balai Bukit Kepong)
- Koperal 7068 Md Yassin bin Hj A.Wahab
- Lans Koperal 7186 Jidin bin Omar
- Konstabel 37 Abu Bakar bin Daud
- Konstabel 60 Ibrahim bin Adam
- Konstabel 68 Awang bin Ali
- Konstabel 181 Basiron bin Adam
- Mata-Mata (MM) 7493 Mohamad bin Jaafar
- MM 9136 Hassan bin Othman
- MM 8600 Jaafar bin Hassan
- MM 5674 Abu bin Mohd Ali
- MM 7862 Abdul Kadir bin Jusoff
- MM 3933 Hamzah bin Ahmad
- MM/Tambahan 3475 Mohd Tap bin Lazim
- MM/T 3795 Jaafar bin Arshad
- Auxiliary Police (A/P) 1925 Ali Akob bin Othman
- A/P 2127 Osman bin Yahya
- A/P 2130 Samad bin Yatim
- A/P 1912 Mahmud bin Sa’at
Empat orang cedera parah:
- Konstabel 37 Abu Bakar Daud
- MM 10533 Osman Yusof
- MM 7645 Yusof bin Rono
- MM/T 3472 Ahmad bin Khalid
Sumber artikel & gambar: Facebook Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police)

