UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya boleh bekerjasama dengan musuh jika mendapat sokongan majoriti daripada ahlinya.
Bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno dan BN akan bekerjasama dengan musuh hanya untuk kepentingan bangsa, agama dan negara.
“Jadi, apa langkah untuk berkerjasama dan siapa yang kita mahu berpakat dengan perlu dipersetuji dan diterima majoriti ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Umno-BN dan wajar dikaji demi masa depan parti dan juga demi kepentingan bangsa, agama dan negara.
“Tapi dengan syarat – ahli-ahli dan pemimpin Umno mesti boleh terima, dan mereka ikhlas, ada trust (kepercayaan) dalam kerjasama,” catatnya di Facebook, hari ini.
Najib berkata demikian kerana pelik dengan tindakan portal Astro Awani menggunakan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan laporan berita bertajuk ‘Boleh bekerjasama dengan musuh… – Najib’.
“Entah kenapa Astro Awani gunakan gambar Tun Mahathir dan Anwar dalam laporan berita dengan tajuk ini.
“Kenapa tak letak gambar Shafie Apdal, Mat Sabu atau Uncle Kit Siang juga?
“Saya cuma menjawab secara am apabila ditanya dalam wawancara tersebut bahawa berkerjasama dengan seteru bukan perkara baharu dalam politik Malaysia,” katanya.
Menjelaskan perkara itu, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Umno dan BN telah menggunakan pendekatan bekerjasama bersama musuh sejak era zaman pemerintahan Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri lagi.
“Semasa Allahyarham ayahanda saya Tun Razak mengasaskan Barisan Nasional pada tahun 1973 selepas darurat tragedi Mei 13, beberapa parti yang merupakan musuh politik kita masa itu seperti Gerakan, PPP dan PAS turut menyertai BN.
“Masa itu, pemikirannya ialah agenda paling penting adalah kestabilan dalam negara untuk memulihkan negara.
“Dari ini, saya diajar bahawa politik ini adalah dinamik dan kita perlu sentiasa kaji apakah langkah boleh diterima oleh ahli-ahli kita yang paling sesuai bagi parti dan kepentingan negara,” kata Najib.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, tiada siapa yang percaya Umno dan BN dapat bekerjasama dengan musuh meskipun sebulan sebelum itu mereka ‘berperang’ hebat seperti yang terjadi di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai dan Kimanis.
“Sesiapa pada akhir tahun 2019 juga akan kurang percaya bahawa PPBM yang merupakan “musuh” kita masa itu dan masih berlawan dengan Umno di PRK Tanjung Piai pada November 2019 dan di PRK Kimanis pada Januari 2020 akan berpakat dengan Umno dalam kerajaan baru pada Februari 2020.
“Ia juga menjadi realiti sebab ahli-ahli Umno dan BN bersetuju untuk bekerjasama dengan PPBM masa itu (tetapi kini ditolak oleh majoriti ahli),” catat Najib.
Tambah menarik, Najib berkata, Umno dan PAS yang telah lama bermusuhan akhirnya dapat bekerjasama membentuk Muafakat Nasional pada tahun 2019.
“Sesiapa pada tahun 2017 akan kurang percaya bahawa pada tahun 2018, PAS yang merupakan “musuh” kita pada PRU14 akan bergabung dengan Umno dalam Muafakat Nasional,” katanya
Justeru, Najib menyimpulkan Umno dan BN boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja musuhnya jika mendapat persetujuan akar umbi dan sokongan ahli-ahli parti.
“Hakikatnya, ia berlaku sebab majoriti ahli-ahli parti Umno bersetuju. Jika majoriti ahli-ahli parti bersetuju untuk bekerjasama dengan Tun Dr Mahatir atau Mat Sabu atau Shafie Apdal, kita explore.
“Jika majoriti ahli-ahli parti bantah untuk kita bekerjasama dengan Anwar Ibrahim atau DAP atau Shafie Apdal, kita tak teruskan. ‘Explore all options and think out of the box’, kata orang putih,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/21/kerjasama-dengan-dap-ini-penjelasan-presiden-umno/

