
SINDIKET pengedaran dadah ‘‘Mockingbird’ tumpas, susulan penahanan seorang wanita warga tempatan bersama dadah bernilai RM7.8 juta di sekitar Lembah Klang, Jumaat lalu.
Susulan itu, polis menahan enam lagi individu termasuk pasangan wanita berkenaan berusia 22 hingga 46 tahun.
Timbalan Pengarah Narkotik (Perlucuthakan Harta / Perundangan / Tahanan) Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata sebanyak 240 ketulan ‘heroin base’ dengan anggaran berat 87.86 kilogram (kg) bernilai RM7.8 juta turut dirampas.
“Sindiket yang digelar ‘Mockingbird’ ini aktif sejak enam bulan lalu dan aktif di sekitar Lembah Klang.
“Mereka memperoleh bekalan dadah dari Myanmar melalui Thailand sebelum dipasarkan di negara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata dadah jenis heroin itu disyaki boleh digunakan seramai 3,265,865 individu.
“Setiap ketulan dadah ini seberat 700 gram dan mampu menghasilkan 22kg dadah jenis heroin.
“Dadah jenis heroin ini akan dijual kepada pengedar sebelum diproses dan dijual kepada penagih dadah,” katanya. – Malaysiapost
