
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menggesa agar moratorium pinjaman dilanjutkan bagi meringankan beban rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19.
Menurutnya, bank-bank masih mampu memberi lanjutan moratorium pinjaman secara pukal dan automatik untuk tempoh enam bulan lagi tanpa faedah kerana tetap akan mencatat keuntungan biarpun kita masih dalam kemelut Covid-19.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jumlah keuntungan semua bank di Malaysia bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM31.15 bilion.
“Menurut laporan terbaru Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah keuntungan semua bank di Malaysia bagi tahun 2020 adalah berjumlah RM31.15 bilion iaitu Suku 1 (RM8.55 bilion), Suku 2 (RM8.05 bilion), Suku 3 (RM8.20 bilion) dan Suku 4 (RM6.35 bilion).
“Jadi saya tak tengok bank-bank rugi sebanyak RM6.4 bilion bagi moratorium pinjaman pertama tahun lepas seperti diumum Menteri Kewangan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu memetik laporan The Edge Market mengenai data rasmi dikeluarkan BNM itu.
Beliau berkata, pihak bank tidak sepatutnya mengambil kesempatan dalam kesempitan untuk mengaut lebih keuntungan dengan mengstruktur semula pinjaman dan menambah tempoh bayaran sehingga tiga atau empat tahun lagi.
“Bukan suruh pun bank hapuskan semua hutang B40 atau suruh BNM cetak duit seperti seorang timbalan menteri PN (Perikatan Nasional) itu.
“Ramai yang susah dalam tempoh PKP 1.0 tahun lepas.
“Ramai lagi susah dalam tempoh PKP 2.0 sebab simpanan dan rizab mereka sudah habis diguna untuk menghadapi PKP1.0 dan juga PKPB sejak bulan Oktober tahun lepas,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/27/lanjut-moratorium-bukan-penstrukturan-semula-pinjaman-zahid/
