Tamat kerjasama dengan PN, Bersatu: ‘Keputusan yang hanya merugikan orang Melayu’ – Rosol

0
2
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid

SEKIRANYA benar Umno mahu memuktamadkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), ia hanya merugikan rakyat terutama orang Melayu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid, berkata Umno seharusnya lebih mengutamakan perpaduan yang boleh membawa manfaat kepada rakyat.

Timbalan Pengerusi Biro Penerangan I Bersatu itu berkata, beliau percaya semua isu berbangkit boleh dibincangkan demi kemaslahatan bersama.

“Rakyat mahukan perpaduan kerana perpaduan dapat membentuk kerajaan yang kuat dan kukuh.

“Apabila kita bercakap tentang perpaduan Melayu dan Islam, sebenarnya inilah masa terbaik untuk Bersatu, PAS dan Umno bergabung,” katanya kepada Malaysiapost hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, perpecahan hanya melemahkan orang Melayu dan sekali gus menyebabkan kaum itu kehilangan kuasa.

“Apabila berpecah kita akan lemah. Melayu boleh hilang kuasa. Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku.

“Agenda perpaduan yang paling penting untuk kita kekalkan. Dalam negara menuju fasa pemulihan impak Covid-19, banyak perkara membabitkan kemakmuran ekonomi dan meningkatkan kualiti kesihatan rakyat yang perlu diberi keutamaan.

“Justeru, Umno seharusnya sedia untuk bersama-sama kerajaan bagi menjayakan usaha ini, bukan dengan meretakkan hubungan kerjasama yang dijalinkan,” katanya.

Sebelum itu, beberapa media melaporkan pemimpin Umno telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PN pada PRU-15 sebaik proklamasi darurat berakhir.

Memetik sumber dalaman parti itu, perkara itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Janda Baik, Pahang, Sabtu lalu.

Keputusan itu turut menyatakan kemungkinan Umno akan bertanding atas tiket sendiri pada PRU-15 akan datang. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/21/pru-15-umno-nafi-enggan-bekerjasama-bersatu-pn/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here