Kedah ambil langkah segera kekang Covid-19

0
2

Kerajaan Kedah mengambil beberapa langkah segera bagi mengekang penularan Covid 19 di kawasan yang dilanda wabak berkenaan.

Antaranya dengan menutup sepenuhnya taman-taman awam di kawasan pendemik.

Selain itu operasi pasar malam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dihadkan bermula jam 4 petang sehingga pukul 8 malam.

Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dikongsikan di Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA itu juga memaklumkan operasi peruncitan seperti kedai runcit, kedai 24 jam dan kedai serbaneka di stesyen minyak hanya dibenarkan selama 12 jam, bermula 8 pagi hingga 8 malam.

Aktiviti penjualan makanan di kawasan dilanda pandemik pula hanya dibenarkan melalui kaedah bawa pulang atau penghantaran dan tidak lagi dibenarkan untuk makan, minum atau melepak di kedai berkenaan.

Arahan yang berkuat kuasa serta-merta itu diputuskan pada Mesyuarat JKKN yang dipengerusikan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman, malam tadi.

Malah, sebarang bentuk penganjuran majlis kenduri termasuk majlis perkahwinan hendaklah dibatalkan.

Mana-mana masjid atau institusi keagamaan yang terlibat dengan kes positif Covid-19 diarah tutup serta-merta bagi membolehkan proses sanitasi dan pengawasan lanjut sehingga kes positif di kawasan tersebut dapat diselesaikan.

Turut diumumkan, semua acara sambutan berkaitan kemerdekaan di negeri itu dibatalkan.

Tempat-tempat awam yang kebiasaannya menjadi tempat untuk sambutan kemerdekaan seperti Pantai Merdeka dan Pulau Sayak akan ditutup menjelang 28 Ogos ini.