Berita Malaysia terima vaksin gagal tarik pelabur asing – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

BERITA mengenai penerimaan dan ketibaaan vaksin Covid-19 semalam dilihat gagal menarik keyakinan pelabur asing ke negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata keadaan itu adalah janggal dan tidak seperti yang berlaku di negara lain ketika menerima vaksin berkenaan.

“Tidak serupa dengan hampir semua negara dalam dunia, berita negara kita menerima vaksin Covid gagal menarik perhatian pelabur asing minggu lepas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Najib turut berkongsi kenyataan MIDF Research mengenai perkara itu yang dilaporkan The Edge Market.

Dalam laporan itu, MIDF Research mengatakan keadaan adalah bertentangan dengan jangkaan, iaitu pengumuman mengenai ketibaaan vaksin Covid-19 di Malaysia tidak mencetuskan kemasukan besar pelaburan asing.

Najib berkata, bursa saham juga turun pagi ini walaupun selepas berita vaksin selamat sampai ke Malaysia semalam.

“Ini janggal sebab trend yang sama tidak berlaku di negara-negara lain di mana penerimaan vaksin menjadi pemangkin bagi rally kenaikan dalam pasaran saham.

“Sebaliknya, pelabur asing teruskan trend menarik dana mereka dari Malaysia,” katanya.

Menurutnya, sejak 2021 bermula, pelabur asing telah mengeluarkan RM1.22 bilion dari Malaysia, manakala pada 2020, tarik hampir RM24.7 bilion.

“Tahun 2019, hampir RM14 bilion keluar dan 2018 selepas PRU14, dana RM13 bilion lari, bagaimanapun berbeza pada 2017 apabila dana asing RM10.4 bilion masuk ke Malaysia.

“Tapi satu trend berbahaya yang saya perhatikan sejak tahun lepas dan perlu ditangani kerajaan sebelum ianya membawa parah besar bagi rakyat ialah trend jumlah pelaburan baru dalam Bursa Malaysia dari kategori runcit (iaitu orang biasa) jauh melebihi pelaburan dari institusi pelaburan tempatan dan pelabur asing,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu pantau keadaan itu supaya situasi yang berlaku pada 1997-1998 tidak berulang di mana rakyat biasa terperangkap dan menjadi mangsa terbesar apabila bursa saham menjunam pada ketika institusi tempatan dan pelabur asing enggan membeli.

“Harap rakyat akan berhati-hati dan memilih kaunter saham yang lebih selamat dan berasaskan kekuatan sebenar.

“Kerajaan juga boleh memainkan peranan dengan memulihkan kepercayaan pelabur asing sebab negara sudah menghadapi aliran keluar dana asing bagi tiga tahun berturut-turut dari 2018 hingga 2020. Jangan 2021 menjadi tahun keempat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here