DUA hingga lima juta dos vaksin Covid-19 yang dibeli Kerajaan Selangor dijangka bakal diperoleh selewat-lewatnya pada Mei atau Jun hadapan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembelian semua vaksin itu dianggap penting bagi membantu kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Setakat ini, kita belum menentukan jumlah sebenar vaksin berkenaan, namun, ia melibatkan kuantiti besar dan kos yang tinggi.
“Jika semuanya berjalan lancar, kita jangka memperolehnya seawal Mei atau Jun nanti. Kita akan buat pengumuman rasmi mengenai proses pengagihan vaksin ini selepas diperoleh kelak,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri merancang membeli tiga hingga lima juta dos vaksin Covid-19 sebagai tindakan mengawal penularan virus dan memutuskan rangkaian jangkitan.
Langkah itu bertujuan memastikan kesihatan rakyat Selangor terus terjamin dan memastikan bekalan vaksin berkenaan mencukupi selain keperluan kepada rakyat serta pekerja asing kerana industri di negeri ini memerlukannya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai status bekalan dan agihan vaksin Covid-19 di Selangor, beliau memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Saya akan menemui Menterinya, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Perbincangan ini akan memfokuskan jumlah pengagihan vaksin di seluruh Selangor,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/22/golongan-rentan-dijadual-terima-vaksin-bermula-april-rina/

