Sultan Perak perkenan mahaad tahfiz di buka

0
2

SEMUA maahad tahfiz di seluruh Perak dibenarkan beroperasi bermula 1 Mac ini, selaras dengan pembukaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ia susulan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini menzahirkan perkenan pembukaannya.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, titah perkenan itu adalah selepas mendengar hasrat yang dipersembahkan sebilangan pengelola maahad tahfiz di Perak.

Menurutnya, ia juga selepas mendapatkan sembah nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak.

Bagaimanapun, katanya, bilangan maksimum pelajar yang dibenarkan kembali ke institusi itu terhad kepada kapasiti ruang asrama dan sekolah dengan mematuhi penjarakan fizikal yang tertakluk kepada kelulusan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Selain ruang belajar, ruang hafalan dan ruang solat, asrama juga dimestikan mematuhi penjarakan fizikal dengan pelajar hanya dibenarkan menggunakan katil bahagian bawah bagi katil dua tingkat (double decker) yang lazimnya ditempatkan di asrama.

Mohd Annuar berkata, begitu juga makan secara berkumpulan seperti makan berkongsi talam adalah tidak dibenarkan, sebaliknya setiap pelajar dimestikan untuk tidak berkongsi peralatan makanan dan menggunakan peralatan sendiri.

“Bagi meminimumkan risiko, ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan melawat atau menziarahi pelajar buat sementara waktu iaitu selagi mana pihak berkuasa yang berkaitan belum berpuas hati dengan kejayaan mengawal penularan pandemik Covid-19.

“Mereka hanya boleh menghantar pelajar hingga pintu pagar sahaja. Pengurusan maahad juga dikehendaki menjadualkan sesi pendaftaran pelajar secara berperingkat atau melanjutkan tempoh pendaftaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua barang dari luar termasuk barangan pelajar yang dibawa dari rumah diwajibkan melalui proses sanitasi sebelum dibenarkan masuk ke kawasan maahad tahfiz.

Mohd Annuar berkata, pengurusan maahad juga wajib melakukan sanitasi terhadap keseluruhan premis meliputi kawasan sekolah dan asrama mengikut piawaian yang disahkan oleh Jabatan Kesihatan.

Selain itu, katanya, petugas di maahad tahfiz hendaklah dihadkan kepada warganegara serta penduduk tetap Malaysia sahaja. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/16/sultan-perak-perkenan-solat-jemaah-ikut-keluasan-masjid-surau/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here