Kejayaan RTS bergantung kepantasan pelepasan kastam, imigresen

0
3

KERAJAAN masih boleh mempertingkatkan kepantasan proses pemeriksaan imigresen dan kastam pada Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, kata Datuk Seri Najib Razak. 

Menurutnya, kadar masa yang diambil ketika proses pemeriksaan Imigresen dan Kastam bakal menjadi penentu kejayaan projek RTS, malah turut memberi kelegaan kepada rakyat yang setiap hari berulang alik ke negara jiran itu kerana bekerja.  

“Kejayaan Sistem Transit Aliran (RTS) Johor Bahru-Singapura memang bergantung kepada kepantasan pelepasan kastam dan imigresen.

“Sebab itu, pengumuman kerajaan minggu lepas bahawa penumpang RTS yang tempoh perjalanannya hanya 5 minit masih perlukan masa 10-15 minit lagi untuk proses pelepasan kastam dan imigresen agak mengecewakan.

“Ratusan ribu rakyat akan berterima kasih setiap hari pada kerajaan apabila sempadan negara dibuka semula selepas pandemik Covid berakhir,” catat Najib di Facebook, hari ini. 

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, Malaysia dan Singapura pernah mencapai kata sepakat untuk menyepadukan sistem Imigresen dan Kastam kedua-dua negara dengan menggunakan sistem moden dan canggih. 

“Semasa kerajaan BN (Barisan Nasional) dahulu rancang RTS dan HSR (yang sudah dibatalkan kerajaan PN), kita juga pernah bersetuju dengan negara Singapura untuk memudahkan proses kastam dan imigresen agar proses pelepasan bagi kedua negara disepadukan.

“Kini sistem pengecaman wajah (facial recognition) semakin canggih. Sistem Face ID Apple untuk iPhone juga telah mencapai kadar ketepatan setinggi 99.9999% iaitu kadar satu kesilapan bagi setiap sejuta wajah dicam.

“Bila digandingkan dengan kad sentuhan imigresen khusus bagi pelawat kerap, risikonya adalah teramat rendah. Sebenarnya kita tidak perlu tunggu sehingga RTS mula beroperasi untuk memulakan sistem ini sebab teknologi sudah ada,” catat Najib. 

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut memberi idea kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar projek RTS ini dapat memberi impak kepada rakyat dan negara. 

“Cuma perlu bincang dengan negara Singapura untuk wujudkan sistem baru tersebut secepat mungkin dan digunakan di checkpoint kastam dan imigresen sedia ada.

“Paling tidak, kerajaan Singapura dan Malaysia boleh mula mendaftar pemegang kad imigresen dan wajah pemilik dalam tempoh 6 bulan sebelum RTS mula beroperasi agar kejayaan RTS terjamin.

“Jika nak lagi pantas, kad sentuhan itu juga boleh digunakan sebagai kad tiket RTS supaya kastam dan imigresen dilepas semasa menaik keretapi.

“Seperti diumum kerajaan PN, projek RTS yang dirunding, dipersetujui dan dilancarkan saya akan merancakkan pembangunan di Johor tetapi ianya telah terlambat,” kata Najib. 

Terdahulu, projek RTS adalah cetusan dan idea Kerajaan BN yang memulakan pembinaannya pada tahun 2018.

Namun projek yang sepatutnya siap pada tahun 2024 itu telah ditangguhkan susulan BN kalah pada Pilihanraya Umum ke-14.

“RTS sepatutnya beroperasi pada awal tahun 2024 tetapi ditangguhkan rejim gagalkrasi PH ke akhir tahun 2026.

Jadi, kita perlu pastikan kejayaan projek ini apabila RTS mula beroperasi dengan memudahkan proses kastam dan imigresen bagi pengguna,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here