PENDATANG asing tanpa izin (PATI) diminta tampil bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tanpa wujud perasaan risau jika ditahan pihak berkuasa.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya maklum terdapat kegusaran dalam kalangan komuniti PATI jika ditangkap sekiranya hadir untuk disuntik vaksin.
Khairy berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Tujuan kami adalah menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sekali gus mewujudkan imuniti berkelompok kerana sekiranya golongan ini tidak divaksin, penularan kes seperti pada gelombang kedua yang menyaksikan penularan di depoh tahanan imigresen, lokap dan penjara boleh berlaku.
“Kami akan bekerjasama dengan semua NGO berkaitan bagi meyakinkan PATI untuk tampil dan membolehkan mereka divaksin tanpa perlu risau ditahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar majlis penyerahan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan memaklumkan warga asing termasuk PATI akan menerima suntikan satu dos vaksin Covid-19 yang akan dilaksanakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Katanya, suntikan vaksin itu adalah percuma dan usaha itu bagi memastikan terjaminnya rakyat Malaysia daripada pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/20/pendaftaran-vaksin-melalui-mysejahtera-klinik-kesihatan/

