Pemuda Amanah cabar menteri agama bentang laporan kewangan TH

0
3

Nilam Oshman

Pemuda Amanah mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri membentangkan Laporan Kewangan Tabung Haji (TH) Tahun 2018 dan 2019.

Menurut Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin, ia perlu dibentangkan di Parlimen bersama segala usaha yang pernah dilakukan oleh bekas menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Katanya, laporan berkenaan sepatutnya dibentangkan Mujahid namun tidak menjadi kenyataan susulan pertukaran kerajaan, Februari lalu.

“Perkara ini ditegaskan beliau dalam program Berani Semuka beberapa hari lalu. Merujuk kenyataan Mujahid sebelum ini, sebarang proses pengauditan yang berkaitan telah diselesaikan.

“Oleh itu tiada sebarang sebab yang boleh menghalang kerajaan ketika ini untuk membentangkan laporan tersebut, apatah lagi jika sanggup beralasan bohong dengan menyatakan ia masih belum siap.

“Sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 5,6,7,8 dan 9 Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) (Akta 240) dan Seksyen 26 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), laporan kewangan TH yang telah diaudit perlu dibentangkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shazni Munir berkata keperluan untuk melaksanakan tanggungjawab undang-undang itu amat penting bagi pengagihan hibah kepada pendeposit TH.

Ini katanya, selaras peruntukan Seksyen 22 (3) Akta Tabung Haji akan keperluan memastikan nilai aset melebihi nilai liabiliti tahun berkenaan dan ia boleh dipastikan melalui laporan tahunan yang telah diaudit dan disahkan Ketua Audit Negara.

Jumaat lalu, Mujahid menegaskan laporan kewangan TH 2018 tidak dapat dibentangkan susulan pertukaran kerajaan pada Februari 2020.

Beliau menjelaskan sebarang proses pengauditan sudah diselesaikan dan pihaknya sepatutnya membentangkan laporan tersebut pada Mac 2020.