El Pescao ‘idam’ sertai perlumbaan hujung minggu ini

0
3

Kemalangan yang menimpa pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah tidak mematahkan semangatnya untuk menyertai perlumbaan hujung minggu ini.

Hafizh Syahrin yang diberi jolokan ‘El Pescao’ mengakui pada masa sama masih merasai kesakitan pada kedua-dua kakinya.

“Saya gembira apabila tiada kecederaan besar di badan, tetapi kemalangan itu sangat teruk. Saya masih merasa sakit pada kedua-dua belah kaki terutamanya kaki kiri.

“Pada masa ini, saya menggunakan topang ketiak untuk membantu pergerakan dan saya berdoa agar pulih secepat mungkin, saya juga berharap dapat menyertai perlumbaan hujung minggu ini (GP Styrian),” katanya seperti dilapor Bernama.

Pelumba pasukan Aspar itu jua melahirkan rasa lega apabila pasukan perubatan mengesahkan dia tidak mengalami kecederaan serius pada bahagian badan selepas kemalangan itu.

Dalam kemalangan ngeri semasa perlumbaan Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring semalam, Hafizh yang sedang memecut merempuh motosikal pendahulu kelas Moto2, Enea Bastianini yang berada di tengah-tengah trek.

Pelumba Itali berkenaan sebelum itu hilang kawalan di selekoh pertama dan terjatuh, kemudian berjaya berlari ke tepi trek bagi menyelamatkan diri dengan meninggalkan jenteranya di trek itu.