R&R PLUS kawasan PKPB dilanjutkan 12 malam

0
3

KAWASAN rehat dan rawat (R&R) kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 12 malam.

Negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula R&R akan dibuka mulai jam 6 pagi hingga 10 malam.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, perkara itu selaras dengan pengumuman terkini kerajaan mengenai prosedur operasi standard (SOP) kawasan R&R.

“Perkara itu juga selari dengan SOP PKPB, yang mana waktu operasi terkini dan kapasiti tempat duduk berdasarkan kepada saiz meja bagi memudahkan pelanggan lebuh raya bersama keluarga atau kumpulan pekerja untuk makan bersama.

“Kami berharap langkah ini dapat membantu meningkatkan perniagaan kepada pengusaha gerai dan rakan niaga kami kerana pertambahan kunjungan orang ramai ke R&R sangat dialu-alukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azman turut memberi jaminan tahap kebersihan menjadi keutamaan PLUS dengan kerja penyelenggaraan lebih kerap dan berskala untuk keselesaan pelanggan.

“PLUS akan memastikan pelanggan terus mematuhi SOP keselamatan seperti ditetapkan di kawasan R&R untuk keselamatan dan kesejahteraan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, bagi memudahkan pelanggan merancang perjalanan dan berhenti singgah untuk menikmati makanan di lebuh raya, premis makanan dan minuman bagi R&R dan hentian sebelah di negeri melaksanakan PKPB akan beroperasi pada jam 6 pagi hingga 12 malam.

“Semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka 24 jam dengan menjalankan pembersihan berjadual lebih kerap.

“Malah, pengguna lebuh raya PLUS juga boleh menikmati pelbagai hidangan makanan yang lazat dari gerai dan rakan niaga PLUS dengan membuat prapesanan makanan menerusi Aplikasi PLUS atau klik https://orderdisini.plus.com.my/,” katanya. -Malaysiapos

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here