DI SEBALIK kesibukan tugas harian dalam mengendalikan isu-isu berkaitan mengawal penularan wabak Covid-19, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak melupakan tugasan hakiki di Kementerian Pertahanan.
Justeru hari ini beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Markas 1 Briged, Kem Rasah, Negeri Sembilan.

Ketibaan beliau disambut Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz.

Menerusi kenyataan di laman Twitter rasmi Kementerian Pertahanan, lawatan tersebut disusuli dengan taklimat ringkas mengenai perjalanan operasi Kem Rasah.

“YB menteri serta delegasi kemudian menerima taklimat ringkas pengoperasian, pentadbiran dan logistik mengenai hala tuju Kem Rasah yang disampaikan oleh Panglimanya iaitu Brigedier Jeneral Mhd Nazri Abd Rahman,” tulis ciapan itu, hari ini.

Turut mengiringi adalah Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Mhd Nazri Abd Rahman.

Hantaran tersebut turut memuat naik gambar Ismail Sabri melakukan pemeriksaan barisan kawalan kuarter daripada warga Kem Rasah. – Malaysiapost

