Nurul Huda Abhar
ALAT peranti mudah alih diperlukan untuk memudahkan lagi pembelajaran murid dan pelajar walaupun sesi persekolahan akan kembali dibuka bermula 1 Mac depan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, menerusi peranti yang diterima, pelajar boleh mengakses saluran pendidikan bagi mendapatkan ilmu dengan lebih berkesan.
“Sungguhpun sekolah akan kembali dibuka tak lama lagi namun peralatan seperti ini masih perlu, bersesuaian dengan kehendak zaman.
“Saya harap para pelajar ini dapat manafaatkan sepenuhnya “tablet” ini dan membantu mereka di dalam usaha menimba ilmu pengetahuan. Banyak aplikasi dan saluran pelajaran secara “online” boleh dilayari.
“Semoga semua akan berjaya dan cemerlang dalam pelajaran,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Dr Mahathir juga menyampaikan beberapa peranti ‘tablet’ kepada murid sekolah rendah di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, hari ini.

“Sebanyak 21 sekolah rendah dan sejumlah pelajar dalam kelompok B40 di Langkawi ini akan diagihkan dengan peranti bagi memudahkan proses pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya lagi.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan pembukaan sekolah dan melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula 20 Januari lalu.
Ia berikutan untuk mengawal keselamatan pelajar dan mengekang penularan jangkitan virus Covid-19.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan tahun ini akan dibuka secara berperingkat bermula Mac depan.
Untuk sesi persekolah bagi murid sekolah rendah akan bermula pada 1 Mac dan 8 Mac 2021, manakala bagi pelajar sekolah menengah persekolahan bermula selepas tamat cuti pertengahan penggal, iaitu 5 April. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/02/19/sesi-persekolahan-bermula-mac-depan/

