Nurul Huda Abhar
SALURAN televisyen DidikTV akan lebih memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran pelajar sekolah menengah selepas sesi persekolahan dibuka secara berperingkat bermula Mac depan.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ianya sebagai salah satu pengisian pembelajaran di rumah bagi pelajar sekolah menengah yang akan memasuki sesi persekolahan bermula 5 April.
“Kita akan gunakan DidikTV ini dengan masa yang banyak untuk pelajar sekolah menengah. Sebab pelajar sekolah menengah masuk lewat sikit daripada murid sekolah rendah.
“Itulah perancangan supaya pelajar sekolah menengah yang berada di rumah dapat mengikuti program di DidikTV sebahagian daripada pembelajaran mereka,” katanya ketika sidang media khas, hari ini.
Beliau mengumumkan bahawa semua murid sekolah menengah akan kembali ke sekolah selepas tamat cuti pertengahan penggal bermula 5 April bagi memberi peluang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki peperiksaan.
Sementara itu, beliau menegaskan takwim persekolahan tahun ini kekal seperti biasa mengikut yang telah dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini.
“Takwim itu kekal, apa sahaja yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dalam tempoh tersebut mengikut takwin asal,” katanya.
Mohd Radzi menambah KPM membuat perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung prosedur operasi standard (SOP) sepanjang sesi persekolahan yang bakal dibuka.
Katanya, interaksi pihak sekolah dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sentiasa dilakukan untuk memastikan keadaan sekolah selamat mengikut situasi semasa. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/19/sesi-persekolahan-bermula-mac-depan/

