Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu dan Barisan Nasional (BN) masih diterima oleh rakyat Sabah.
Beliau berkata, ini dibuktikan menerusi penerimaan ramai keahlian baharu di Ranau ketika kehadirannya ke daerah itu, semalam.
“Berkesempatan menerima ramai keahlian baharu Umno di Ranau, Sabah petang tadi (semalam). Ini bukti Umno dan BN masih relevan dan diterima rakyat Sabah.
“Saya berjumpa kepimpinan empat peringkat Umno Bahagian Ranau yang masih segar dan bersemangat,” katanya dalam posting terbaharu di laman Facebooknya, malam tadi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berada di Kundasang, Ranau bagi menyempurnakan program Skuad Sabil Sabah dan Pemuda BN Sabah.
Dalam posting terdahulu, Ahmad Zahid berkata, rakyat Sabah juga rindukan BN.
Katanya, perjalanan ke Kundasang selama dua jam sangat berbaloi kerana semangat Skuad Sabil Sabah dan Pemuda BN negeri jelas luar biasa.
“Mereka sudah bersiap sedia menghadapi PRN. Mereka rindukan BN,” katanya.
BN Sabah hampir lumpuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berikutan tindakan sebahagian besar parti komponennya meninggalkan gabungan itu.
Parti yang masih berada dalam gabungan itu ketika ini hanya Umno, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Sebelum PRU14, BN Sabah disertai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan Gerakan.
Tindakan itu menyebabkan BN hanya mempunyai seorang wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum dibubarkan pada 30 Julai lalu, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dari Sungai Sibuga yang juga bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.
Umno kehilangan 16 Adun selepas PRU14 apabila mereka bertindak meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selain Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, mereka yang menyertai Warisan dan PH sudah meninggalkan gabungan itu pada akhir bulan lalu untuk menyokong usaha mengambil alih kerajaan negeri diketuai Musa, namun gagal.

