SEORANG pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret, Tampin hari ini atas tuduhan membunuh anak tirinya yang berusia empat tahun, pada awal bulan ini.
Tertuduh, Abu Hassan Darus, 30, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Tan Chai Wei, lapor Bernama.
Mengikut pertuduhan, Abu Hassan yang bersasal dari Kampung Halacara Baru Londah Gemas, Negeri Sembilan didakwa menyebabkan kematian mangsa yang juga anak tiri perempuannya berusia empat tahun antara jam 3 hingga 5 petang pada 1 Februari lalu.
Pertuduhan dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ahmad Sazali Omar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 25 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki mendera anak tiri perempuan berusia empat tahun sehingga meninggal dunia, 1 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, berkata suspek ditahan kira-kira jam 10 malam pada 9 Februari lalu.
Katanya, lelaki itu ditahan selepas bedah siasat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan ada kesan lebam di kedua-dua pergelangan tangan serta kaki.
Mangsa juga mempunyai kesan gigitan gigi dewasa di badan mangsa manakala tiga tulang rusuk kirinya patah. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/13/lelaki-ditahan-dera-anak-tiri-berusia-4-tahun-hingga-mati/

