Rakaman audio didedahkan SPRM dibenarkan undang-undang

0
2

[Parlimen] Polis sudah melengkapkan siasatan berhubung pendedahan audio oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata laporan siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada 19 Jun lalu bagi mendapatkan nasihat dan pandangan selanjutnya.

“Rakaman audio yang didedahkan oleh SPRM pada Januari 2020 adalah dibenarkan oleh undang-undang.

“Ia tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang).

Noh bertanya sejauh mana tahap integriti, kredibiliti dan profesionalisme SPRM yang bertindak secara tidak wajar apabila mendedahkan bukti rakaman audio berprofil tinggi kepada umum.

Pada 8 Januari, SPRM memutarkan rakaman audio perbualan, didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan perbualan lain yang dikatakan berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang membabitkan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan beberapa individu lain.

Latheefa kemudian mempertahankan tindakannya mengadakan sidang media memperdengarkan sembilan klip rakaman audio terbabit.