POLIS menahan semula pengasas laman sesawang dan aplikasi temu janji Sugarbook selepas permohonan reman terhadapnya tidak diterima Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, penahanan semula itu bagi membantu siasatan kes rogol dan pelacuran.
Menurutnya, ia susulan laporan daripada seorang penuntut institut pengajian tinggi yang mendakwa kejadian berlaku di Subang Jaya pada 19 Februari 2019.
“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol) dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan (kesalahan terbabit dalam kegiatan pelacuran),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman lelaki terbabit bagi membantu siasatan berhubung dakwaan laman Sugarbook.com digunakan sebagai platform aktiviti tidak bermoral.
Peguam Foong Cheng Leong yang mewakilinya berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noorasyikin Sahat menolak permohonan pihak berkuasa itu selepas anak guamnya memberi aku janji akan bekerjasama penuh kepada pihak polis.
Bercakap mengenai penolakan permohonan reman itu, Fadzil berkata, pihak Pengarah Pendakwaan Selangor telah membuat permohonan semakan ke atas keputusan berkenaan.
“Permohonan akan didengar di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah di Shah Alam, 9 pagi Jumaat (esok),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Malaysia berada di kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan sugar daddy paling ramai melalui aplikasi Sugarbook yang menyediakan platform untuk mencari teman janji temu itu.
Susulan aduan orang ramai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akses ke laman tersebut yan turut mendakwa semakin ramai wanita di negara ini, khususnya penuntut universiti menawarkan diri menjadi sugar baby menerusi laman berkenaan. – Malaysiapost
Foto Kredit: Bernama

