Ibu bapa tergamak beri maklumat palsu untuk bolot bantuan

0
2

SIKAP segelintir ibu bapa yang tergamak menipu perincian pendapatan sendiri demi membolot bantuan persekolahan anak-anak adalah amat mengecewakan.

Lebih mengecewakan, terdapat penerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebenarnya sangat berkemampuan malah memiliki sebuah kereta mewah.

Perkara mengecewakan ini diluahkan oleh seorang guru yang dikenali sebagai Amin Ali di Facebook baru-baru ini.

Menurut Cikgu Amin, saban tahun para guru pasti akan berhadapan dengan maklumat palsu berkenaan jumlah pendapatan sebenar isi rumah pelajar bagi menentukan pelajar yang layak untuk menerima BAK.

Lebih memburukkan keadaan menurut Cikgu Amin, terdapat segelintir ibu bapa yang malas untuk mengisi borang bagi mengemas kini jumlah pendapatan terkini mereka.

“Dugaan guru seluruh negara bila tiba musim Bantuan Awal Persekolahan (BAP) terutama dalam kawasan kepadatan penduduk yang tidak berminda terbuka atau dalam bahasa kasar bermentaliti setinggan.

“Karenah ini dapat dilihat ketika musim duit bukan main mahu tetapi isi borang malas! Paling biasa berlaku ialah memberi maklumat pendapatan palsu. Cukup biasa di sini memberi maklumat palsu demi sehelai RM100,” katanya.

Malah, Cikgu Amin menjelaskan, terdapat guru dimarahi dan dipersalahkan oleh ibu bapa sedangkan guru ini hanya perantara pihak kerajaan untuk mengenal pasti pelajar yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Kita mahu bantu tetapi dia tidak bantu diri sendiri. Nanti kalau kita hina dia miskin nampak tidak profesional pula, sudahnya kita dikecam beremosi,” rintihnya sambil berkongsi tangkap layar komunikasi dalam aplikasi whatsap dengan salah seorang ibu bapa pelajar yang amat mengecewakannya.

Justeru, Cikgu Amin berharap pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dapat mewujudkan satu mekanisma yang lebih bersistematik untuk mengelak perkara ini berlaku setiap tahun.

“Tolonglah Kerajaan Malaysia buat satu sistem yang selaras. Penat kami kena maki setiap tahun. Untuk pengetahuan Kerajaan Malaysia, jika tidak silap pada 2018 salah seorang penerima BAP di sekolah kami memiliki Toyota Alphard,” jelasnya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here