SAMBUTAN Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah tahun ini akan diadakan secara dalam talian, sesuai dengan norma baharu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata dalam mesyuarat pertama jawatankuasa sambutan Kaamatan secara dalam talian semalam, jawatankuasa itu memutuskan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Aiso Wolit Montok Piompunan om Pibabasan’ (Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Pendamaian dan Keamanan).
“Kami merasakan tema ini sesuai untuk tahun ini selepas banyak perkara berlaku terutama yang disebabkan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.
Kaamatan ialah pesta menuai yang disambut di Sabah oleh kaum Kadazan Dusun dan kaum lain yang berkaitan pada Mei setiap tahun.
Jeffrey yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) berkata upacara pembukaan dan penutup sambutan itu akan diadakan di Hongkod Koisaan di Penampang dan akan disiarkan secara dalam talian.
Bagaimanapun katanya, semua daerah akan mengadakan sambutan peringkat daerah masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Terdapat juga kemungkinan keadaan berubah pada Mei nanti yang mungkin membolehkan kita mengadakan sambutan secara dalam dan luar talian serta orang ramai boleh menyertainya secara fizikal,” katanya. – Malaysiapost

