KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) wajar memandang serius gesaan 90 Ahli Parlimen negara Asean untuk menghidupkan kembali persidangan Parlimen di Malaysia.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ahli Parlimen ASEAN bagi hak asasi manusia (APHR) mendesak Parlimen Malaysia kembali bersidang mungkin melibatkan konteks yang lebih sejagat iaitu demokrasi di rantau ini.
“Jika itu ‘concern’ seramai 90 Ahli Parlimen negara ASEAN terbabit, saya beranggapan kerajaan Malaysia tidak boleh ambil mudah berhubung desakan itu.
“Kita bimbang isu ini bukan sahaja boleh memberi kesan kepada hubungan bilateral Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN, malah memberi tempias kepada ekonomi Malaysia di rantau ini,” katanya di Facebook, hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) masih berpendirian untuk menolak campur tangan asing dalam hal ehwal pentadbiran negara.
“Pendirian saya berhubung perkara ini masih sama iaitu Malaysia merupakan sebuah negara yang berdaulat.
“Sebagai sebuah negara berdaulat, tidak wajar untuk mana-mana pihak luar mencampuri urusan dalaman Malaysia.
“BN sejak dulu konsisten menolak campur tangan kuasa asing dalam urusan pentadbiran dan politik negara.
“Pihak luar yang dimaksudkan tidak terhad kepada kerajaan atau pimpinan negara lain, malah NGO dan media-media asing,” catatnya.
Ahmad Zahid juga berharap para ahli parlimen ASEAN itu tidak melebihi batas untuk masuk campur tangan dalam perkara lain kecuali mempertikaikan parlimen Malaysia digantung kerana perlaksanaan proklamasi darurat.
“Cumanya, saya berharap jika boleh seramai 90 Ahli Parlimen negara ASEAN terbabit jangan hanya tertumpu kepada persoalan demokrasi di Malaysia.
“Sedangkan ada negara ASEAN lain turut bergelut dengan isu demokrasi selepas berlaku rampasan kuasa oleh junta tentera.
“Kita masih mengingati tujuan dan prinsip diabadikan dalam Piagam ASEAN yang turut dipersetujui Malaysia iaitu kepatuhan negara anggota terhadap demokrasi,” katanya.
Semalam, 90 Ahli Parlimen melibatkan negara ASEAN iaitu dari Thailand, Indonesia, Timor-Leste, Kemboja, Filipina dan Singapura menggesa Malaysia mengembalikan hak ahli parlimen dengan menamatkan pergantungan persidangan Dewan Rakyat. -Malaysiapost

