HARI ini ini terukir sejarah apabila kerajaan buat pertama kalinya memperkenalkan DidikTV KPM sebagai saluran khusus TV Pendidikan dengan pengisian dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia adalah usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi murid di seluruh negara.
Katanya, kerajaan sedar akan keresahan rakyat dalam situasi sukar dan mencabar, termasuk hal berkaitan pendidikan anak-anak.
Justeru, beliau berkata kerajaan bersetuju untuk mewujudkan satu saluran khusus untuk siaran TV Pendidikan.
“DidikTV KPM akan menyiarkan program-program berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.
“Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat pra sekolah hingga Tingkatan 6, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.
“Selain itu, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan.
“Saya yakin DidikTV KPM akan dapat membantu pelaksanaan PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah), khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian. Ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama-sama anak-anak,” katanya ketika melancarkan DidikTV KPM, hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin berkata semua pihak perlu terima hakikat bahawa pelaksanaan PdPR secara dalam talian masih belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh singkat.
Ini kerana katanya, sebahagian besar murid tidak memiliki peranti sesuai dan juga faktor kekangan akses kepada internet.
“KPM telah mengambil inisiatif menghidupkan kembali slot program TV Pendidikan secara terestrial pada awal tahun lalu, iaitu semasa PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020.
“Ini sebagai usaha untuk membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui televisyen,” katanya.
DidikTV KPM boleh ditonton di saluran NTV7 di TV Unifi, 107 di Mytv dan 147 di Astro. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/26/kpm-tambah-slot-tv-pendidikan-di-ntv7/

