Muhyiddin tuntut Puad minta maaf, ganti rugi RM10 juta

0
2

TAN Sri Muhyiddin Yassin menuntut ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook minggu lalu.

Dalam surat tuntutan dihantar firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership kepada Mohd Puad semalam, Muhyiddin, antara lain menuntut Mohd Puad memadam kenyataan bertarikh 9 Februari mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.

Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Mohd Puad bahawa Muhyiddin enggan dikuarantin sekembalinya dari lawatan rasmi di Jakarta pada 5 Februari lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri.

“Kami diarahkan bahawa kenyataan itu mengandungi maklumat tidak benar, tidak berasas dan berniat jahat,” menurut surat tuntutan yang ditandatangani peguam Muhyiddin.

Firma guaman itu juga diarah untuk menuntut Mohd Puad menyatakan permohonan maaf secara terbuka disiarkan secara jelas dan segera di laman Facebooknya dan semua portal berita dan media sosial yang menyiarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.

Selain itu, Mohd Puad juga dituntut mengeluarkan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi atau menerbitkan kenyataan sama atau seumpama itu dalam apa jua cara sekalipun, lapor Bernama.

“Kami diarahkan untuk menuntut agar bersetuju untuk membayar pampasan kepada anak guam kami sejumlah RM10 juta dan jika gagal menunaikan tuntutan dalam masa tujuh hari dari tarikh surat ini, maka kami akan mengambil tindakan guaman terhadap anda,” katanya.

Difahamkan surat tuntutan itu dihantar melalui e-mel dan juga diserahkan secara tangan kepada Mohd Puad hari ini.

Pada 9 Februari lalu, Pejabat Perdana Menteri menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang dibuat oleh Mohd Puad kononnya perintah kuarantin tiga hari untuk Menteri yang melakukan lawatan ke luar negara diwartakan oleh kerajaan kerana Perdana Menteri enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi ke Indonesia. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/10/tanya-pun-kena-saman-soal-puad/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here