Peranan Hadi Awang signifikan dalam PN bagi wujud persefahaman – Azmin

0
2

Nurul Huda Abhar

PENGERUSI Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menzahirkan rasa prihatin terhadap kesihatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Bin Awang yang kini sedang menjalani rawatan di hospital.

Menurutnya, beliau bersyukur mendapat perkhabaran bahawa Abdul Hadi berada dalam keadaan stabil dan mendapat perkhidmatan rawatan yang terbaik.

“Saya mendoakan Tuan Guru senantiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan dikurniakan kesembuhan yang secepatnya dan diberikan kesihatan untuk memimpin umat.

“Ya Allah, Rabb manusia, hilangkanlah kesusahan dan berilah dia kesembuhan, Engkau Zat Yang Maha Menyembuhkan. Tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, secara peribadi, beliau mengenali Abdul Hadi sebagai seorang pejuang yang tabah dan murabbi ummah yang tuntas dalam pembangunan umat demi menyemarakkan syiar Islam.

Jelasnya, peranan Presiden PAS itu dalam pembentukan PN adalah amat signifikan khususnya untuk menggembleng persefahaman bagi menjamin kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama mendoakan kesihatan Tuan Guru agar kembali pulih untuk meneruskan perjuangan demi kemaslahatan umat,” ujarnya.

Abdul Hadi dilaporkan dimasukkan ke Jabatan Kecemasan, Hospital Putrajaya akibat sesak nafas, jam 7.50 malam semalam.

Beliau kemudian dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan susulan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here