KERAJAAN mengekalkan larangan rentas negeri atau daerah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan yang dijadualkan tamat pada 4 Mac depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penilaian yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat terdapat lebih 10 kluster yang melibatkan rentas negeri.
“Jika lihat kerajaan telah beri sedikit kelonggaran pada Disember lepas yang mana ramai rentas negeri balik ke kampung, ramai yang bercuti.
“Beberapa kes berlaku yang pulang dari Langkawi, dan Kelantan di mana adalah negeri zon hijau sebelum berlaku rentas negeri yang menyebabkan 65 peratus dariapda Kelantan menjadi zon merah,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Ismail Sabri berkata, melalui data yang dikeluarkan KKM menunjukkan rentas negeri menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.
Katanya, kes yang berpunca dariapada rentas negeri adalah tinggi walaupun tidak sebanyak kes yang dilaporkan berpunca daripada jangkitan di tempat kerja dan kilang-kilang.
“Sebab itu kita masih tidak benarkan rentas negeri. Rentas daerah juga bagi negeri-negeri yang besar seperti Pahang ada kawasan zon kuning tetapi masih ada kawasan zon merah.
“Jika berlaku rentas negeri dari kawasan merah ke kawasan kuning mungkin akan membawa jangkitan,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan kerajaan hari ini bersetuju membatalkan larangan pergerakan melebihi 10 kilometer (km).
“Jadi tidak ada lagi walaupun dikawasan PKP sekali pun dibenarkan merentas sehingga 10 km kerana di kawasan PKP pun banyak aktiviti di restoran dan sebagainya.
“Bukan saja restoran, tapi perniagaan-perniagaan telah pun dibuka malah memancing dibenarkan jadi tidak releven lagi untuk larangan rentas 10km,” katanya. – Malaysiapost

